Naik Feri Pulau Pinang percuma selama sebulan mulai 7 Ogos

GEORGETOWN: Warga Pulau Pinang dan pelancong boleh menikmati perkhidmatan feri ulang-alik yang lebih canggih dari Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di sini ke Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth secara percuma selama sebulan mulai 7 Ogos depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia akan menyediakan ketibaan empat feri baharu di Pulau Pinang dan pihak Penang Port Sdn Bhd akan mengambil masa empat minggu sebagai tempoh percubaan untuk menjalankan pelbagai latihan.

Beliau berkata, latihan itu turut membabitkan pengemudi feri dan pada masa yang sama, Jabatan Laut akan melakukan pentauliahan terhadap keempat-empat feri.

Perkhidmatan feri ini akan mula beroperasi pada 7 Ogos dari jam 6 pagi hingga 8.30 malam, manakala kekerapannya pada waktu kemuncak ialah setiap 30 minit dan masa yang diambil untuk perjalanan selama 10 minit.

Apabila ia mula beroperasi pada 7 Ogos nanti, semua penumpang termasuk bukan warga negara boleh menikmati perkhidmatan feri ini secara percuma selama sebulan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau feri terbabit di sini hari ini. Beliau berkata, tiga feri akan beroperasi setiap hari, manakala satu lagi diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

Katanya, feri itu dibangunkan dengan konsep serta baharu dilengkapi ciri keselamatan seperti kamera litar tertutup.

Ditanya mengenai kadar tambang bagi perkhidmatan itu, Loke berkata ia akan diumumkan kemudian selepas mengadakan perbincangan serta mencapai kata sepakat dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan kadar tambang yang akan ditetapkan kelak adalah berpatutan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here