Kuala Lumpur, Sep 12
Dalam tempoh lapan bulan tahun ini,sebanyak 2.56 juta kompaun saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim, berkata jumlah itu membabitkan sebanyak 1.52 juta saman K257 iaitu secara bersemuka, manakala 1.03 juta kompaun K170A membabitkan kesalahan dikesan PDRM melalui kamera atau penguatkuasaan dijalankan.
Katanya, saman tertinggi dikeluarkan membabitkan kesalahan trafik iaitu 985,635 saman.
Antaranya memandu melebihi had laju ditetapkan, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Daripada jumlah itu, sebanyak 555,002 saman lesen dikenakan terhadap mereka yang tidak mempunyai lesen sah atau lesen yang tamat tempoh kata Mat Kasim.

















