Melaka, Sep 21
Polis hari ini mengesahkan bahawa mayat yang ditemukan dalam semak di Alor Gajah di sini, Sabtu lalu adalah R. Darvinrajh, 24 .
R. Darvnrajh, dilaporkan hilang dari rumahnya hampir 11 hari. Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas ahli keluarga Darvinrajh menunjukkan keputusan sepadan dengan mayat berkenaan.
“Keputusan DNA menunjukkan ia sepadan dengan kes orang hilang di Tampin, Negeri Sembilan,” katanya ringkas kepada pemberita di sini, hari ini. Beliau berkata, mayat tanpa identiti berseluar jeans dalam keadaan berulat serta hampir reput itu ditemukan orang awam di tepi jalan Ladang Gadek, Kemuning.
Jelasnya, hasil bedah siasat menunjukkan, mayat berkenaan tidak dibakar sebaliknya keadaan fizikal seakan-akan hangus adalah disebabkan banyak tisu-tisu badan mangsa telah hilang akibat proses pereputan.
Tambah Zainol, si mati mengalami kecederaan parah akibat kecederaan daripada objek tajam. Hasil bedah siasat dijalankan pegawai perubatan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Alor Gajah mengesahkan, mangsa mempunyai kesan kecederaan pada bahagian badan serta kepala. Pada mulanya kes ini diklasifikan sebagai mati mengejut. Tetapi sekarang kes ini telah diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
























