Kes COVID-19 jangkaui 4 juta di Brazil

Brazil melepasi angka empat juta kes jangkitan COVID-19 setakat sehingga Khamis (3 Sep), dengan Kementerian Kesihatan negara itu turut mendedahkan bahawa kadar jangkitan sudah lebih perlahan di negara kedua paling teruk terjejas di dunia akibat jangkitan virus tersebut.

Sejak kes pertama dikesan pada 26 Februari lalu, negara Amerika Selatan itu kini mencatatkan lebih 4.04 juta jangkitan dan lebih 124,600 kematian, iaitu kedua selepas Amerika Syarikat.

Hampir 44,000 kes baru dan 834 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Kementerian Kesihatan memaklumkan jumlah jangkitan berkurangan sedikit sejak beberapa hari kebelakangan ini di tengah-tengah harapan wabak itu sudah sampai ke paras kemuncak setelah lebih 1,000 kematian dilaporkan setiap hari selama berbulan-bulan.

Sejak hujung bulan lalu, Brazil merekodkan sekitar 870 kematian akibat jangkitan COVID-19 dengan 40,000 jangkitan baru sehari.

Sungguhpun demikian, para pakar perubatan bebas menggesa rakyat negara itu supaya terus berwaspada.

“Ini setakat permulaan kepada apa yang kami harapkan adalah satu trend yang semakin bertambah baik,” kata ahli epidemiologi di Universiti Brasilia, Encik Mauricio Sanchez.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa trend itu ‘sangat perlahan’ dan penurunan kes mesti dikekalkan selama dua atau tiga minggu lagi sebelum kesimpulan yang lebih jelas dapat dibuat.

Brazil mencatatkan kadar kematian sebanyak 589 bagi setiap sejuta penduduk namun terdapat perbezaan yang sangat ketara antara jumlah kes yang dilaporkan di bahagian utara (746 kes) dengan bahagian selatan (309 kes) negara itu.

Profesor epidemiologi di Universiti Sao Paulo, Paulo Lotufo berkata, jumlah itu menunjukkan bahawa Brazil mungkin di ambang trend yang memberangsangkan.

“Sejak dua bulan lalu, kami melihat kemerosotan di beberapa wilayah, dengan sesetengah wilayah terus mencatat penurunan,” kata Encik Lotufo, sambil merujuk kepada bandar-bandar utama seperti Sao Paulo dan Rio de Janeiro serta beberapa wilayah di bahagian utara yang turut melaporkan kemerosotan pada jumlah kes jangkitan.

Para pakar bagaimanapun memberi amaran situasi boleh kembali buruk jika pemerintah tempatan tunduk kepada tekanan daripada kumpulan peniaga yang menggesa supaya membuka semula ekonomi dan menarik balik langkah jarak sosial.

Ahad lalu, pantai-pantai di Rio de Janeiro penuh sesak dengan orang ramai yang tidak memakai pelitup.

Kebanyakan bandar di negara itu sedang menimbangkan untuk membuka semua sekolah. Bar, restoran, gimnasium dan gereja sudah dibuka semula, dengan peraturan jarak sosial yang ketat dilaksanakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here