Petaling Jaya, Sep 23.
Seorang anak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan berkelakuan kurang sopan dan mengugut ibunya. Pembantu di pusat permainan kanak-kanak, Muhammad Zahir Mohd Zubir, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 26 September depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa berkelakuan kurang sopan terhadap ibunya Zalya Ibrahim, 46, dengan mengeluarkan kata-kata ugutan di sebuah rumah di Kampung Lindungan di sini pada 6 petang, 19 September lalu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan.




















