Kluster baharu Bah Arnab muncul di Kuching

Satu kluster baharu dikenali Kluster Bah Arnab telah muncul di Kuching, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini.

Bagaimanapun, JPBN mengesahkan setakat ini kluster tersebut masih terkawal dan hanya melibatkan ahli terdekat sahaja.

“Semalam, Sarawak telah mencatatkan lapan kes positif baharu COVID-19 dengan satu kluster baharu diisytiharkan iaitu Kluster Bah Arnab di Daerah Kuching.

“Lapan kes ini ialah empat dari Daerah Kuching, dua kes di Daerah Miri dan satu kes di Dearah Bintulu.

“Kes ke-725 (jangkitan tempatan) adalah kontak rapat kepada kes ke-724 yang telah didapati positif pada 7 Oktober lepas hasil ujian saringan pada hari yang sama.

“Sementara kes ke-726 dan kes ke-727 masing-masing merupakan kes import A iaitu lelaki warganegara India yang masuk ke Sarawak untuk bekerja di sebuah syarikat di Miri,” jelas JPBN dalam satu kenyataan.

Ujar JPBN, kedua -dua kes telah berada di Malaysia pada 17 September melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di Kuala Lumpur dan ujian saringan pertama serta kedua didapati negatif.

“Kes telah meneruskan perjalanan ke Miri pada 4 Oktober lalu dan dimasukkan ke pusat kuarantin dan ujian saringan pada 7 Oktober sekali gus telah didapati positif.

Bagi kes ke-728 pula kata JPBN, ia dikategorikan sebagai kes import B kerana mendapat jangkitan semasa berada di Selangor.

JPBN berkata, kes ini merupakan lelaki warganegara tempatan yang melawat ahli keluarga di Kelana Jaya, Selangor pada 22 hingga 27 September lalu dan menjalani saringan kendiri pada 6 Oktober selepas mengalami demam dan ujian telah mendapati beliau positif.

“Tiga lagi kes iaitu kes ke-729, 730 dan 731 masing-masing merupakan jangkitan tempatan yang dikesan melalui pengesanan kes secara aktif kepada kes ke-719.

“Manakala kes ke-732 merupakan kes import B melibatkan seorang warganegara tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah pada 19 hingga 27 September lepas atas urusan perniagaan.

“Kes telah diberi arahan kuarantin di rumah dan menjalani ujian saringan pada hari ke-10 iaitu pada 6 Oktober dan didapati positif pada 7 Oktober lalu,” tegas JPBN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here