Sindiket pungut derma diberkas

Kuala Lumpur, Okt 6.
Polis menumpaskan kegiatan sindiket penipuan dalam talian berkaitan pungutan derma untuk tiga persatuan kebajikan yang beroperasi sejak lima tahun lalu.

Ia susulan serbuan polis ke atas sebuah premis di Kepong di sini, semalam yang dipercayai dijadikan pusat panggilan untuk kegiatan memungut derma daripada orang ramai

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata menerusi serbuan itu, polis menahan 55 individu terdiri daripada 34 lelaki dan 21 wanita, kesemuanya warga tempatan berusia antara 18 hingga 42 tahun.

Siasatan awal mendapati sindiket ini berperanan sebagai pemanggil yang menghubungi mangsa iaitu penderma individu atau syarikat untuk menghulurkan derma kepada beberapa badan kebajikan

Sindiket ini turut mengiklankan derma kebajikan melalui Facebook untuk meraih simpati penderma, katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

Dalam serbuan itu, polis merampas 53 komputer riba, 126 telefon bimbit, 108 buku resit serta dua modem router.

Katanya, pemanggil akan menghubungi mangsa tidak kira individu atau syarikat dan merayu derma daripada mereka untuk tiga persatuan kebajikan terbabit.

Sindiket ini menyediakan tujuh akaun bank yang menggunakan nama syarikat berbeza untuk mereka yang bersetuju untuk memberikan derma masing-masing, katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati tiga persatuan kebajikan terbabit wujud namun sedang menjalankan siasatan lanjut sama ada nama persatuan itu hanya diperguna oleh sindiket atau mempunyai kaitan secara langsung dengan sindiket.

Kita sedang semak sama ada sindiket ini mengambil komisyen daripada jumlah derma yang dikutip atau mengaut semua wang derma itu.

Siasatan juga akan dijalankan ke atas tiga persatuan kebajikan terbabit termasuk latar belakang punca kewangan dan sebagainya, katanya.

Menurut Allaudeen, sindiket berkenaan beroperasi sejak lima tahun lalu dan siasatan lanjut dijalankan berhubung jumlah derma yang dikutip sepanjang tempoh itu.

Ahli sindiket akan menerima 10 hingga 20 peratus komisen daripada kutipan jika kutipan mencapai sasaran ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here