Baling, Okt 10.
Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Baling hari ini atas tuduhan membunuh seorang warga emas, S. Kanan di Kuala Ketil, Baling, awal bulan ini.
Mereka yang dituduh adalah K. Tamilselvam 25, C. Vikkaram 33, Sarim Omar 33 dan
S. Sureshkumar 21. Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka memandangkan kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa mempunyai niat secara bersama membunuh S Kanan, 71, di sebuah rumah di Taman Desa Bidara antara 3 hingga 4.20 petang 1 Okt lepas.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Seksyen itu juga memperuntukan, jika tidak dihukum gantung, pesalah hendaklah juga dikenakan hukuman tidak kurang 12 sebatan.
Hakim Najwa Che Mat menetapkan 14 Dis untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan kimia, lapor Harian Metro.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ikmal Affandi Zulkifli manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu dilaporkan seorang lelaki warga emas ditemukan dengan kesan jerut di leher dan tangan serta kakinya diikat di katil bilik utama rumah jenis teres setingkat itu pada hari dan waktu yang dikatakan.





















