Larangan untuk penggunaan soket dalam bas ekspres

Kuala Lumpur, Nov-
Kementerian Pengangkutan memaklumkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) sudah mengeluarkan larangan sementara penggunaan soket dalam semua bas ekspres susulan insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang.

Menteri Loke Siew Fook berkata larangan itu dibuat sehingga selesai siasatan penuh yang dijalankan pasukan petugas khas.

“Sekarang semua bas ekspres (yang) ada soket ini dilarang untuk digunakan (buat) sementara waktu.

“(Kita) nak dapatkan punca sebenar dulu…apakah punca (berlaku) insiden ini,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang meminta Kementerian Pengangkutan memaklumkan apakah langkah segera diambil susulan insiden itu.

Pada 3 Nov lalu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas dan menggantung serta-merta operasi bas terbabit insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki pada 1 Nov.

Loke berkata, pasukan petugas khas itu terdiri Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Apad dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here