Petaling Jaya, Okt 11.
Seorang Ahli Parlimen PKR mencadangkan nama Universiti Putra Malaysia (UPM) ditukar semula kepada nama asalnya, Universiti Pertanian Malaysia sebagai usaha memartabatkan semula industri agro.
Hassan Karim berkata sudah tiba industri itu diangkat semula sebagai pengajian utama di universiti memandangkan negara bergelut dengan isu keterjaminan makanan, ekoran dunia berdepan krisis perubahan iklim. Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang itu, jurusan atau kursus ditawarkan di UPM ketika ini boleh dikekalkan namun fokus utama universiti itu perlu kembali kepada matlamat asalnya iaitu memajukan sektor pertanian negara.
Bermula dari sebuah sekolah pertanian pada 21 Mei 1931 di kawasan seluas 22 ekar di Serdang, pusat itu hanya menawarkan program diploma tiga tahun dan program sijil satu tahun dalam bidang pertanian.Ia kemudian dinaik taraf sebagai Kolej Pertanian Malaya pada 23 Jun 1947 sebelum diangkat menjadi universiti sepenuhya, 26 tahun selepas itu.
Namanya ditukar kepada Universiti Putra Malaysia pada 1997 oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad, selaras statusnya sebagai pusat pengajian tinggi menyediakan pelbagai disiplin bidang, terutama sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan pembangunan negara ketika itu.
Hassan berpendapat negara seharusnya tidak meminggirkan industri pertanian dalam usaha menuju ke negara perindustrian, merujuk kejayaan Jepun membangunkan dan memajukan sektor industri dan pertanian seiring.