Petaling Jaya, Okt 11.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjelaskan tindakannya menggunakan anak anjing sebagai umpan hidup dalam operasi menangkap harimau kumbang di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, bulan lepas.
Ketika dihubungi, Ketua Pengarah Perhilitan Abdul Kadir Abu Hassan menegaskan tiada anak anjing yang cedera dalam operasi itu, manakala semua SOP dipatuhi.“Kami cuba umpan harimau kumbang itu dengan kambing hidup, tetapi gagal.Menurut petunjuk dalam kes ini, harimau kumbang itu menyerang anjing, jadi kami menggunakan anak anjing supaya bau dan salakannya menarik haiwan itu,” katanya kepada FMT.
Harimau kumbang hanya akan memasuki perangkap dengan umpan haiwan yang biasa menjadi mangsanya, tambahnya.
Menurutnya, Perhilitan terpaksa menggunakan anak anjing kerana anjing dewasa tidak muat dalam perangkap berkenaan.
Katanya, anak anjing itu terus dilepaskan sebaik harimau kumbang berkenaan ditangkap.
Semalam, NGO Persatuan Haiwan Terbiar (SAFM) mempertikai tindakan Perhilitan menggunakan anak anjing hidup sebagai umpan.
Presidennya R Kalaivanan berkata, lebih berperikemanusiaan dan beretika untuk menggunakan daging kambing, ayam, lembu atau ayam belanda berbanding anak anjing.Kalaivanan turut menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyiasat kejadian itu.
Disoal mengapa daging mentah tidak digunakan sebagai umpan, Kadir berkata, penggunaan umpan hidup ialah prosedur biasa kerana ia menarik haiwan liar.



















