Ipoh jadi bandar raya kesihatan menjelang 2025

Ipoh, Okt 16. Ipoh bakal menjadi bandar raya kesihatan menjelang 2025 berikutan kerancakan pembinaan beberapa pusat perubatan ketika ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, berkata antara lima pusat perubatan baharu di sekitar bandar raya ini ialah Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Perkeso di Bandar Meru Raya, Hospital Seri Botani dan Pusat Perubatan Sunway.”Kebanyakan infrastruktur sedang dalam pembinaan dan yang sudah siap dibina antaranya Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) dan Hospital Seri Botani manakala hospital di Bandar Sunway, Tambun (Pusat Perubatan Sunway) yang dalam pembinaan dijangka siap tidak lama lagi.

“Quill Medical Centre di Jalan Sultan Nazrin Shah juga dalam pembinaan malah terdapat beberapa lagi pusat kesihatan dalam perancangan untuk dibina,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Barah Payudara dan Diabetes ‘Fight For Pink Act For Blue’ anjuran PCSH di sini hari ini.

Rumaizi berkata, pembinaan beberapa pusat kesihatan di sekitar bandar raya ini melibatkan pelaburan melebihi RM1 bilion pada fasa awal.”Kesemua projek pembinaan ini dijangka siap pada hujung tahun hadapan dan kita (Ipoh) akan mempunyai tambahan kira-kira 1,000 kemudahan katil.

“Hal ini sekali gus mewujudkan lebih 8,000 peluang pekerjaan berkaitan sektor kesihatan seperti doktor, jururawat, ahli farmasi dan kakitangan pentadbiran,” katanya meurut – BERNAMA .

Beliau berkata selain pelancongan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menumpukan sektor kesihatan kerana pertambahan pusat perubatan berkenaan dapat membantu penduduk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan mudah dan kos mampu milik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here