Kerap minum air dalam tandas, tahan sakit dicucuh api – Mangsa dera

Johor Bahru, Okt 19
Kanak-kanak lelaki mangsa dera yang ditemukan berbogel dan dikurung dalam tandas ketika diselamatkan di sebuah flet di Pulai, dekat sini, mendakwa sering menahan sakit akibat dipukul, selain dicucuh api oleh teman wanita bapanya.

Ibu mangsa dikenali Ana, 34, berkata perkara itu dimaklumkan sendiri anaknya sewaktu bertemu buat pertama kali selepas kira-kira setahun terpisah, selepas kanak-kanak berusia tujuh tahun itu diselamatkan Jumaat lalu.

Berdasarkan perkongsian, katanya, anaknya itu mendakwa kerap meminum air di dalam tandas ketika kelaparan (akibat dikurung) dan kadang-kala hanya menjamah sisa makanan yang tertinggal.

Dia juga beritahu terpaksa menahan sakit apabila sengaja dipukul serta dicucuh api oleh teman wanita (bekas) suami (bapa mangsa) dan tiada tempat untuk mengadu nasibnya.

“Saya tidak melihat perbuatan mereka, namun siapa saja pelakunya saya tidak akan memaafkan mereka dan berharap (mereka) dibawa ke muka pengadilan.

“Saya tidak dapat bayangkan nasib jika dia (mangsa) tidak diselamatkan polis, mungkin kami kehilangannya,” katanya yang juga peniaga nasi lemak di Kuala Selangor.

Semalam media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki menjadi mangsa dera ditemukan tidak bermaya, dibiarkan berbogel dan dikurung dalam tandas rumah keluarganya di Pulai, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin mengesahkan dua suspek ditahan untuk membantu siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here