Petai antara hasil tani Orang Asli Pos Musoh, Tapah kini dijual di Aeon

Tapah, Okt 27.
Hasil tani Orang Asli Pos Musoh, di sini mendapat perhatian untuk dipasarkan secara komersial di Pasaraya Aeon seluruh negara.

Sembilan hasil tani akan dipasarkan . Pengerusi Koperasi Orang Asli Pos Musoh, Kamal Bah Kan Lok, berkata antaranya ialah petai, bunga kantan, pandan, serai, lengkuas, kunyit serta daun kunyit.

“Turut akan dipasarkan ialah jeruk petai dan sambal kantan yang kini dalam perancangan untuk dipasarkan di pasar raya itu,” katanya ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Koperasi Orang Asli Pos Musoh dan Aeon Co (M) Sdn Bhd (Aeon), semalam.

Kerjasama dengan Aeon telah bermula pada Mac lepas melalui produk petai hutan Tapah yang siap dikopek dan kini dengan perluasan kepada produk-produk pertanian lain, koperasi akan dapat mengupah orang-orang kampung dan seterusnya menjana pendapatan kepada komuniti dan penduduk setempat.

Sementara itu Pegawai Pemasaran dan Perdagangan Aeon, Lau Ngai Yuen, berkata produk-produk tani tersebut mendapat permintaan yang tinggi kerana pelanggan sangat sukakan sesuatu yang segar dan semula jadi.”Walaupun harganya mungkin agak mahal sedikit tetapi penerimaannya sangat bagus kerana ia ditanam secara tradisional dan ada yang berasal dari sumber semula jadi seperti petai,” katanya.

Dalam pada itu, majlis menandatangani MoU tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami.

Turut hadir Pengarah Jabatan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah, Hairulnizam Abd Rahman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here