Taktik sembunyi dadah bernilai RM1 juta dalam timbunan tanah tumpas

MUAR –

Taktik menyembunyikan dadah dipercayai jenis syabu bernilai kira-kira RM1 juta di dalam timbunan tanah untuk mengaburi mata pihak berkuasa akhirnya tumpas dengan tertangkapnya tiga warga Indonesia ketika serbuan Ops Landai di Bukit Pasir, Sabtu lepas.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, ACP Abdul Rahman Mohamad berkata ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20 hingga 56 tahun itu ditahan oleh pasukan polis Unit Risikan Marin bersama anggota Bot Ronda RH 30 di sebuah pondok di kawasan kebun getah, kira-kira 7 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek menjadikan pondok tersebut tempat berehat dan pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan berkenaan, pihak polis menemukan kesan timbunan tanah mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati polis menemukan bungkusan berisi dadah disyaki jenis syabu seberat 20,000 gram pada timbunan tanah di bawah pondok yang dijadikan tempat berehat.

“Saringan awal ujian air kencing tiga suspek itu menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine. Mereka kini ditahan reman sehingga 8 Feb bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Muar, di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here