Kuala Lumpur, Nov 14.
Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes tiga anggotanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, yang turut terbabit dalam kes pemerasan dan melarikan seorang lelaki warga Bangladesh yang juga seorang wartawan sambilan.
Kertas siasatan kes berkenaan dijangka diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya minggu ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga anggota dari Cawangan Khas, IPD Putrajaya itu akan diberi jaminan sementara selepas tempoh tahanan reman mereka berakhir hari ini manakala tempoh reman tiga lagi suspek terdiri daripada orang awam akan berakhir Khamis.
Pada masa ini pihak polis sudah merakam percakapan daripada lapan individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Secara keseluruhan tangkapan dalam kes ini adalah membabitkan enam individu iaitu tiga anggota polis dan tiga orang awam. Selain itu pihak kami masih memburu tiga lagi suspek, katanya ketika dihubungi hari ini.




















