TNB tanggung kos rawatan budak mangsa renjatan elektrik

Kuala Lumpur, Nov 18.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyalurkan segala bantuan termasuk menanggung kos rawatan dan perubatan seorang kanak-kanak yang terkena percikan arka di pencawang elektrik (PE) di Sri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang, pada Khamis.

TNB dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya amat bersimpati dengan kejadian menimpa mangsa dan akan memastikan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu mendapat rawatan terbaik.

Katanya, wakil pengurusan TNB telah pun menyantuni ibu bapa kanak-kanak itu di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini. Mangsa yang melecur anggota badan sedang dirawat di bilik isolasi Unit Rawatan Rapi (ICU), di hospital berkenaan.

“Dalam lawatan itu, Ketua Zon Aset TNB Pulau Pinang, Ir Anan Eyam turut menyampaikan bantuan pendahuluan segera kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka,” menurut kenyataan itu.

TNB berkata, pihaknya bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Tenaga bagi membantu siasatan.

TNB sendiri menubuhkan pasukan siasatan dalaman selaras dasar operasi syarikat yang memberi keutamaan kepada keselamatan.

Semalam, media melaporkan mangsa melecur seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik dipercayai tersentuh perkakasan elektrik selepas memasuki bilik jana kuasa elektrik untuk mengambil bola yang terpelanting masuk. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here