Kekal hukuman mati ke atas 6 lelaki bunuh Morais, kata pendakwa

Putra Jaya, Dis 14. Pihak pendakwaan memohon dikekalkan hukuman mati jika Mahkamah Rayuan memutus mengekalkan sabitan ke atas enam individu yang membunuh timbalan pendakwa raya, Kevin Morais, lapan tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar, berkata pembunuhan dilakukan “mengerikan” dan fakta kes kejadian “lain dari yang lain”.“Terang-terangan tidak diendah nyawa manusia,” katanya dalam hujahan di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Hadhariah Syed Ismail.

Lelaki terbabit iaitu bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 60; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandran, 52, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 31; A K Thinesh Kumar, 30; M Vishwanath, 33, serta S Nimalan, 30, merayu terhadap hukuman mati atas sabitan kesalahan membunuh Kevin Morais.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati terhadap enam lelaki, pada 10 Julai 2020, selepas didapati bersalah membunuh Morais, pada 4 Sept 2015, yang berlaku di antara Sentul, Kuala Lumpur dan Subang Jaya, Selangor.

Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan apartmen miliknya di Menara Duta, Kuala Lumpur menggunakan kereta rasmi. Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang disimen di Subang Jaya, 12 hari kemudian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here