Kuala Lumpur, Dis 16.
Pegawai polis berpangkat deputi superintendan (DSP) yang disyaki terbabit dalam kejadian melanggar seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, semalam, direman selama tiga hari.
Suspek yang bertugas sebagai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, ditahan reman bermula hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ketika dihubungi mengesahkan pegawai berkenaan direman selama tiga hari bagi membolehkan siasatan secara menyeluruh dijalankan secara telus dan adil.
Beliau juga turut mengarahkan Ketua Polis Daerah Ipoh, Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, menjalankan siasatan secara menyeluruh dan terperinci mengenai kejadian berkenaan.





















