Kota Tinggi, Dis 26.
Ratusan warga asing yang mendakwa ditipu ejen pekerjaan berjalan beramai-ramai di satu kawasan daerah ini sehingga menimbulkan kegusaran awam, sudah ditahan polis.
Video ratusan PATI yang berjalan beramai-ramai itu tular di media sosial sejak malam tadi sehingga menyebabkan kebimbangan masyarakat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata kejadian itu dipercayai berlaku pada Rabu lalu.
Katanya, susulan laporan polis dibuat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian bagi membuat pemeriksaan lanjut.”Ya benar, video yang tular itu adalah kejadian baharu minggu lalu. Mereka difahamkan menuju ke Balai Polis Bayu Damai bagi membuat laporan polis berikutan ditipu ejen pekerjaan yang tidak memberi pekerjaan.
Dalam video tular 1 minit 33 saat itu, seorang pengguna yang sedang memandu kereta terkejut dengan kehadiran ratusan warga asing yang sedang berjalan kaki dalam barisan yang panjang.
Dalam pada itu, Hussin berkata, semua warga asing berkenaan dihantar ke Jabatan Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru bagi siasatan lanjut.





















