Segera audit forensik dana Mitra, umum hasil!

Kuala Lumpur, Jan 8.
Kerajaan perpaduan digesa menyegerakan audit forensik ke atas dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dan mengumumkan hasilnya supaya rakyat tahu perkara sebenar di sebalik dakwaan penyelewengan serta salah guna kuasa.

Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu, R. Sri Sanjeevan berkata, hanya audit forensik dapat merungkai semua isu, termasuk dakwaan ketirisan dana itu.

Beliau menuntut Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengotakan janjinya ketika menjadi pembangkang untuk melakukan audit forensik ke atas institusi berkaitan masyarakat India, termasuk Mitra.

“Kalau tak buat audit forensik, sampai bila pun masalah dalam Mitra, termasuk kononnya wujud unsur rasuah akan berlarutan dan hasil dapatan audit forensik itu nanti perlu didedah kepada umum,” katanya kepada FMT.

Ketika menjadi ketua pembangkang, Anwar pada September 2022 berjanji jika Pakatan Harapan kembali menerajui Putrajaya, mereka akan melakukan audit forensik ke atas tiga institusi berkaitan masyarakat India, iaitu syarikat pelaburan Maika Holdings, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Mitra.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here