Ops Khas Jangkar Haram diteruskan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serius dalam membanteras kegiatan kapal dagang asing bersauh secara haram di perairan Johor kerana ia mendapati terdapat aktiviti penyeludupan warga asing menggunakan kehadiran kapal-kapal ini untuk mengaburi pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata modus operandi itu yang turut digunakan oleh sindiket serupa di kawasan perairan Selangor dan Johor Barat, disyaki membolehkan pendatang tanpa izin menyusup masuk ke dalam negara tanpa dapat dikesan radar pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau berkata adalah penting untuk pihaknya meneruskan Operasi Khas Jangkar Haram yang telahpun dilaksanakan di perairan Johor sejak lapan hari lepas memandangkan perairan berkenaan merupakan laluan keluar dan masuk yang sibuk.

“Mereka (sindiket) gunakan kapal dagang ini sebagai tempat berlindung untuk masuk ke kawasan daratan supaya kita tidak dapat kesan.

Itulah kaedah mereka kerana kebiasaannya, kedudukan kapal-kapal ini berlabuh berdekatan dengan kawasan daratan iaitu dianggarkan antara dua hingga enam batu nautika (empat hingga 12 kilometer),” katanya dalam sidang media di Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili, di sini, semalam.

Beliau berkata antara kawasan yang kerap menjadi sasaran pendaratan sindiket ini ialah di pesisiran pantai Tanjung Penyusup dan Teluk Ramunia, Pengerang.

“Sindiket ini kalau hendak masuk, mereka akan mengelilingi sempadan dahulu untuk cari mana-mana laluan yang mereka rasa boleh cepat sampai ke darat daripada kawasan kapal berlabuh.

Justeru, kita percaya apabila kurangnya kapal-kapal yang berlabuh secara haram ini di kawasan tersebut (berhampiran daratan) maka lebih mudahlah untuk kesan sasaran mencurigakan yang membawa warga asing masuk ke dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, Kamaruszaman berkata menerusi Operasi Khas Jangkar Haram, pihaknya telah berjaya menahan 18 kapal dengan kes yang kini dalam siasatan untuk dihadapkan ke mahkamah.

“Selain itu, operasi berskala besar ini telah berjaya mengusir keluar 71 buah kapal manakala sembilan kapal telah mendapatkan kebenaran bersauh.

Maritim Malaysia juga sedang menunggu pengesahan Jabatan Laut mengenai status tujuh buah lagi kapal yang dikesan masih berdegil bersauh di lokasi terlibat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here