18 tan barang lusuh simpan di rumah

George Town, Jan 16.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terpaksa memungut barangan lusuh sebanyak 18 tan yang disimpan di sebuah rumah dua tingkat di sini, semalam kerana menimbulkan kacau ganggu.

Keseluruhan longgokan sisa barangan lusuh itu diangkut menggunakan tiga lori MBPP.

MBPP menerusi kenyataannya berkata, operasi berkenaan dilakukan secara bersepadu bersama Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut dan PDRM.

Premis itu didapati menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar dengan longgokan sisa barang lusuh.

“Berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 di bawah Seksyen 82, Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengeluarkan Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan kepada pemilik premis pada 29 Disember lalu.

“Pemilik premis dengan sengaja tidak mengambil sebarang tindakan pembersihan dan masih membiarkan premisnya dalam keadaan yang meloyakan,” menurut kenyataan itu di Facebook, semalam.

Menurut MBPP, pemeriksaan bekas berpotensi pembiakan nyamuk turut menemukan ‘massive breeding’ atau pembiakan jentik-jentik yang banyak di dalam baldi.

Tindakan penguatkuasaan sewajarnya sedang dipertimbangkan kerana pemilik tidak mematuhi Notis Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 sebanyak dua kali menyebabkan premisnya menjadi tempat pembiakan jentik-jentik yang boleh membawa kepada penyebaran wabak denggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here