Pemandu Hilux halang laluan ambulans kena tindakan

Kuala Lumpur, Jan 16.
Pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang tular dipercayai menghalang laluan ambulans di Kilometer 226 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Ayer Keroh ke Kuala Lumpur, telah dikenakan tindakan pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari pada 8 Januari lalu.

Katanya, satu laporan polis telah dibuat pada jam 1 petang, Isnin, oleh lelaki tempatan yang juga pemandu ambulans terbabit di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

“Pemandu Toyota Hilux iaitu seorang lelaki tempatan berumur 63 tahun telah dikesan oleh Ketua BSPT IPD Rembau, Negeri Sembilan.

“Tindakan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas yang menekankan kerjasama, berhemah dan berhati-hati semasa berada di atas jalan raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here