Rakyat bosan dengan politik

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata rakyat sudah merasa bosan, muak dan jelik dengan pelbagai pertembungan ahli politik Melayu.

Beliau berkata, apa yang diperlukan bangsa Melayu ketika ini bukanlah satu lagi pembentukan gagasan baharu, tetapi mereka mahukan pencerahan bagaimana bangsa Melayu dapat menjadi lebih baik dan maju.

Mohamad yang turut dikenali sebagai Tok Mat itu turut meluahkan biarpun sudah 10 bulan semenjak Umno menyokong pembentukan kerajaan baharu, politik bangsa Melayu dan Malaysia tetap masih berantakan.

“Mungkin yang diperlukan oleh Malaysia itu bukan lagi perikatan politik demi perikatan politik. Tetapi dasar, idea dan kecerdikan baru untuk menjayakan Malaysia yang maju.

“Hamka pernah berpesan, ‘Orang berakal hidup untuk masyarakatnya, bukan buat dirinya sendiri’. Malaysia sangat memerlukan mereka yang sebegini untuk tanah air ini.

“Mungkin tiba masanya kita tutupkan riwayat lama, buka lembaran baru. Baik hentikan termenung gundah gulana kerana apalah gunanya lama terharu,” katanya dalam satu kenyataan Facebook malam tadi.

Beliau berkata demikian yang mengulas cadangan penubuhan gagasan besar antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Cadangan tersebut diajukan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang menyifatkan gabungan baharu itu sebagai lambang kesatuan parti besar dalam PN selain akan meyakinkan rakyat bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here