Isteri Daim didakwa gagal patuh notis isytihar harta

Kuala Lumpur, Jan 23. Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini kerana gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta.

Bagaimanapun, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 67, mengaku tidak bersalah sejurus tuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa memberi satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November lalu yang dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, lapan hartanah membabitkan Menara Ilham, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Cantoment Road, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Kesalahan didakwa dilakukan di ibu pejabat SRPM, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya, pada 13 Disember lalu mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Nai’mah hadir dengan memakai baju kurung hijau dan diiringi beberapa individu dipercayai peguamnya sebelum memasuki lobi mahkamah jam 8.30 pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here