Saya bukan patung untuk disembah!

Petaling Jaya, Mac.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah baginda memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.

“Saya bukan patung untuk disembah atau dijadikan perhiasan dalam majlis atau dipaksa mengikut segala kata dan kehendak menteri,” titahnya di Facebook.

“Kurang dari dua minggu lagi, akan genap dua bulan saya memegang tampuk ketua negara. Apabila habis tempoh ‘bulan madu’ ini…saya akan mulakan cara pemerintahan saya yang sebenar.”

Pada Oktober lalu, Majlis Raja-Raja memilih Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk penggal lima tahun.Baginda mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Jan lalu, menggantikan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tamat pemerintahannya.

Dalam hantaran berasingan di Facebook, Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan yang saksama diberikan kepada semua 13 negeri seluruh negara.

Titah baginda, penghijrahan penduduk ke Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah kerana ekonominya yang kukuh dan membuka banyak peluang pekerjaan.

“Persoalannya, adakah kerana wilayah ini ditadbir secara terus oleh kerajaan persekutuan, banyak peruntukan pembangunan ditumpukan kepada tiga wilayah ini sahaja?” soal baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, jika semua negeri dibangunkan bersama, penghijrahan penduduk ke pusat bandar akan dapat dikurangkan dan kesesakan akan lebih terkawal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here