Kelar lengan anak tiri, paksa minum air kencing – Lelaki didakwa

Kuala Lumpur, Jan 23.
Seorang pemandu peribadi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengelar tangan anak tirinya dan memaksa minum air kencing di sebuah flat, bulan lalu.

R. Segaran, 38, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Dia didakwa mengelar tangan anak tiri lelakinya yang berusia 14 tahun satu bulan di sebuah rumah flat di Dang Wangi di sini pada jam 5 pagi 15 Disember tahun lalu.

Dia turut berdepan tuduhan memaksa anak tiri perempuannya yang berusia 10 tahun satu bulan meminum air kencing melalui botol pada jam 7 pagi hari berikutnya di tempat sama.Bagi kedua-dua kesalahan, Segaran didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan kerana bimbang dengan keselamatan kedua-dua mangsa jika tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dibebaskan dengan ikat jamin. Mahkamah menetapkan 28 Februari untuk sebutan kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here