Putrajaya, Jan 23.
Polis menahan tiga warga Bangladesh kerana menceroboh sebuah unit pangsapuri di Puchong dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, warga Bangladesh itu ditahan selepas pemilik rumah membuat laporan di Balai Polis Ayer Putih, Kemaman, Terengganu dan dijadikan laporan kepada Balai Polis Putra Perdana, Puchong.
Beliau berkata, laporan diterima pada jam 3.20 petang semalam selepas pemilik menerima berita kediamannya diceroboh warga asing yang disiarkan melalui media.
Katanya, penahanan tiga warga Bangladesh berusia 23 hingga 30 tahun itu dibuat pada jam 9 malam di rumah berkenaan. “Warga Bangladesh itu mengaku menduduki rumah berkenaan sejak dua bulan lalu, dengan merosakkan kunci pintu dan menggantikannya dengan yang baharu.
“Tiga warga Bangladesh yang ditahan itu akan dibawa ke mahkamah pagi ini bagi mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahad lalu, media melaporkan seorang lelaki terkejut apabila mendapati rumah kenalannya di Puchong yang dibiarkan kosong sejak 10 tahun lalu diceroboh dan didiami warga asing.
Lelaki terbabit yang memuat naik kisah itu menerusi akaun Facebook miliknya, Srilabu Kedah berkata, kejadian itu diketahui selepas kenalannya yang tinggal di negeri di Pantai Timur itu,meminta dia menjualkan unit pangsapuri berkenaan.
Bagaimanapun, dia terkejut apabila mendapati rumah itu didiami warga asing dan perkara itu kemudian dimaklumkan kepada pemilik rumah.
















