Program lambaian kasih sempena keberangkatan pulang Agong

Kuala Lumpur, Jan 29. Orang awam boleh menyertai acara lambaian kasih yang diadakan di sepanjang Jalan Parlimen menghala ke Bulatan Dato Onn sempena Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata orang ramai yang ingin menyertai acara berkenaan boleh meletakkan kenderaan di sekitar Taman Botani, parkir bertingkat di Bukit Aman dan parkir di Dataran Merdeka.

Beliau berkata, seramai 3,650 penjawat awam dari pelbagai kementerian akan turut sama di laluan terbabit menyertai acara lambaian kasih berkenaan.

Katanya, mereka juga dinasihat mematuhi arahan kawalan lalu lintas oleh polis dan tidak menghalang laluan. Seramai 91 anggota ditempatkan di lokasi terbabit bagi perancangan dari aspek kawalan lalu lintas dan keselamatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Allaudeen berkata, tujuh laluan di sekitar ibu negara akan terbabit dengan penutupan penuh, manakala 13 laluan akan ditutup secara berperingkat esok.Beliau berkata, laluan di Jalan Parlimen sehingga ke arah Bulatan Dato Onn akan ditutup sepenuhnya seawal jam 6 pagi.

“Bagi tujuh laluan lain, ia ditutup sepenuhnya bermula jam 9 pagi dan akan dibuka secara berperingkat. Laluan yang ditutup ialah Jalan Damansara ke arah Jalan Parlimen (dari arah Istana Lama) dan Jalan Sultan Abdul Halim ke arah Jalan Parlimen.

“Turut ditutup, Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Parlimen, Jalan Kuching ke arah Bulatan Dato Onn, Jalan Salahudin ke arah Bulatan Dato Onn, Jalan Kuching/Jalan Sultan Ismail ke arah Bulatan Dato Onn dan Jalan Tun Perak ke arah Bulatan Dato Onn,” katanya.

Allaudeen berkata, jalan yang terbabit dengan penutupan sementara bermula pada jam 9 pagi dan dibuka secara berperingkat adalah Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Damansara, Jalan Travers ke arah Jalan Damansara (dari arah Muzium Negara), Jalan Sultan Hishamuddin ke arah Jalan Damansara (dari arah Bulatan Hishamuddin), Jalan Tun Sambathan ke arah Jalan Damansara, Jalan Syed Putra ke arah Jalan Istana, Jalan Dewan Bahasa ke arah Jalan Istana, Jalan Sungai Besi ke arah Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lingkaran Tengah/ Jalan Connaught dari arah Lebuhraya Syed Putra.

“Selain itu, New Pantai Expressway (NPE) dari arah Pantai Dalam, Maju Expressway dari arah Tol Salak South, Lebuhraya KESAS dari arah Sungai Besi, Lebuhraya KESAS dari arah Lebuhraya KL/Seremban dan SUKOM Interchange ke arah Lebuhraya KESAS,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here