‘Baik Najib manfaatkan masa di penjara’

Kuala Lumpur, Feb 5.
Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh, enggan melayan cabaran debat terbuka yang dibuat pengendali akaun Facebook bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang disifatkannya sekadar mencari publisiti murahan untuk kekal relevan.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu menegaskan, tiada guna beliau berurusan dengan Najib dalam isu berkenaan kerana yang menjadi asas adalah majoriti pertimbangan dalam permohonan diguna pakai, selain Lembaga Pengampunan juga mengekalkan sabitannya.

Beliau berkata, sebarang perdebatan, sama ada dengan beliau atau sesiapa sahaja, tidak akan mengubah fakta bahawa Najib kekal sebagai banduan dan sabitannya adalah selamat.

“Jelas sekali Najib ingin menggunakan saya untuk kekal relevan dengan mencabar saya dalam perbahasan ini. Saya tidak akan membiarkan diri saya dipergunakan dengan aksi publisiti murahan.”Kasihan melihat Najib dalam keadaan terdesak. Mungkin lebih baik dia memanfaatkan masa di penjara dengan bermuhasabah diri dan bertaubat,” katanya.

Ramkarpal berkata, sesiapa saja yang mengendalikan akaun media sosial itu, hatta Najib sendiri wajar berhenti mengeluarkan cabaran berdebat secara terbuka dengan mana-mana pihak kerana tindakan itu tidak akan mengubah nasib diri bekas perdana menteri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here