Urat tangan wanita putus

Alor Gajah, Feb 15.
Seorang wanita putus urat tangan kiri selepas terkena libasan pedang samurai dalam cubaan samun di hadapan sebuah kedai dobi di Masjid Tanah, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 pagi apabila kereta dipandu mangsa, 36, tiba-tiba dihalang sebuah BMW di hadapan premis berkenaan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dua lelaki bersenjatakan pedang samurai keluar daripada kenderaan dan memecahkan tingkap hadapan, kiri serta kanan sehingga terkena tangan pengadu.

“Akibatnya, wanita itu cedera pada tangan, namun sempat mengundurkan kereta untuk menyelamatkan diri sebelum terlanggar sebuah kenderaan di tepi jalan. “Mangsa kemudian terus memandu ke Balai Polis Masjid Tanah dalam keadaan cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainol berkata, siasatan mendapati mangsa tidak mengenali dua individu yang menyerangnya itu sebelum dia mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah, namun dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Terdahulu, tular video berdurasi 29 saat mengenai kejadian itu memaparkan dua lelaki bertopeng dan bersenjata parang mendekati kereta dipandu mangsa sambil seorang daripadanya cuba membuka pintu bahagian pemandu.

Selepas mangsa berjaya mengelak, dua lelaki bertopeng itu menaiki sebuah kenderaan lain yang menunggu di bahu jalan dan bergerak ke arah bertentangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here