Putrajaya, Feb 19.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan kajian bagi memanjangkan tempoh sah laku pasport Malaysia antarabangsa (PMA) kepada 10 tahun berbanding lima tahun ketika ini.
Menteri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kajian itu dibuat memandangkan kebanyakan negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura sudah berbuat demikian.
“Jabatan Imigresen dalam proses untuk melakukan satu kajian untuk memperkenalkan pasport dengan tempoh sah laku selama 10 tahun.
“Pasport kita sekarang (tempoh sah laku selama) lima tahun, sama ada kita nak kekal lima atau menuju 10 tahun, kita akan melakukan satu fasa kajian,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury di sini, hari ini.




















