Shahmalarani raih pingat emas

Kuala Lumpur, Feb 19.
Atlet karate negara C. Shahmalarani meraih pingat emas pada Kejohanan Karate 1 Siri A Persekutuan Karate Dunia (WKF) di Larnaca, Cyprus, semalam.

Atlet berusia 25 tahun itu merangkul kejuaraan dalam acara wanita bawah 50 kilogram (kg) selepas menewaskan Eva Rodriguez dari Sepanyol 9-5 pada aksi final yang berlangsung di Kition Athletic Center.

Terdahulu, Shahmalarani, juara dua kali Sukan SEA menyingkirkan Barbara Michelle Morales dari Guatemala 3-2 untuk mara ke perlawanan akhir, manakala Eva mengetepikan Hsin-Yu Chan dari Taiwan 1-0.Berkongsi kejayaannya menerusi laman Instagram, Shahmalarani berkata ia sebagai penebus kekecewaan selepas terlepas podium di Sukan Asia Hangzhou, apabila terkandas pada pusingan 16, Oktober lepas.

“Harapan untuk detik ini (kemenangan) amat besar, dan ia adalah bukti ketabahan penantian selama sembilan bulan selepas Sukan SEA 2023 (di Kemboja, Mei 2023),” katanya menerusi hantaran terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here