Pencakar langit tiada makna jika rakyat miskin, kata Sultan Perak

Ipoh, Feb 23.
Bangunan megah mencakar langit tidak memberi makna sekiranya masih ada rakyat yang terpaksa mengikat perut, mencatu makanan dan tidur berbumbung langit, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah, usaha membasmi kemiskinan wajib diteruskan selagi ada rakyat yang miskin dan agenda menoktahkan kemiskinan menjadi satu daripada matlamat untuk menjamin kesejahteraan sosial rakyat.

“Menoktahi kemiskinan tegar menjadi tumpuan kerajaan beta di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, dengan matlamat mengagihkan kekayaan negeri seadil-adilnya untuk dinikmati oleh setiap rakyat.

“Usaha pembasmian kemiskinan bukan sekadar memberi fokus kepada peningkatan pendapatan, tetapi turut mengambil kira kualiti dan kesejahteraan hidup; direalisasikan dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Persidangan DUN Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Sultan Nazrin bertitah dalam usaha memakmurkan negeri, kesalinghubungan kesihatan dan penentu sosial kesihatan yang membentuk kesejahteraan rakyat perlu diberikan perhatian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here