Repatriasi Migran bermula 1 Mac

Putrajaya, Feb.
Susulan Program Repatriasi Migran (PRM) yang akan dilaksanakan bermula 1 Mac hingga 31 Dis ini, pendatang tanpa izin digesa menggunakan peluang berkenaan untuk pulang ke negara asal secara sukarela dan memenuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Imigresen (JIM).

Ia termasuk mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tiket penerbangan pulang. Bercakap kepada Bernama, Ketua Pengarah JIM Datuk Ruslin Jusoh berkata kerajaan pada 31 Jan lepas memutuskan untuk memberikan pengecualian pendakwaan dan menawarkan kompaun kepada pendatang tanpa izin yang menyerah diri untuk pulang ke negara asal atas tiga kesalahan.

Tiga kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) berkaitan keberadaan pendatang tanpa izin di dalam negara ialah masuk atau tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, dan mereka ditawarkan kompaun sebanyak RM500, tinggal lebih masa di Malaysia (RM500) dan melanggar syarat pas (RM300).
“Saya menyeru kepada pendatang tanpa izin, gunalah peluang ini sehabis baik, kerana inilah masa untuk pulang ke negara asal mereka tanpa pendakwaan dan mereka perlu bayar sejumlah bayaran kompaun. Namun, mereka yang sedang ditahan, direman dan didakwa tidak layak untuk menyertai PRM,” katanya. Dianggarkan antara 300,000 hingga 400,000 pendatang tanpa izin akan menyertai PRM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here