Rohingya dalang palsu dokumen warga asing, 14 ditahan

Kuala Lumpur, Mac.
Satu sindiket pemalsuan dokumen didalangi etnik Rohingya mengaut keuntungan RM30,000 sebulan sebelum kegiatannya dipatahkan dalam 16 serbuan di Pulau Pinang dan Perlis, 14 Feb lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata dalam Op Pintas Mega itu, pihaknya menahan 14 individu terdiri daripada 11 etnik Rohingya dan tiga warga tempatan berusia 18 hingga 63 tahun.Katanya, sindiket diketuai seorang warga emas itu dipercayai aktif membuat dan menjual dokumen palsu bernilai RM150 hingga RM1,000.

“Sindiket ini membuat pelbagai dokumen palsu termasuk kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR), kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta pasport negara Myanmar sebelum diberi kepada ejen bagi dijual kepada pelanggan etnik yang sama menerusi aplikasi WhatsApp.

“Semakan mendapati setakat ini sindiket itu sudah menjual kira-kira 700 keping kad UNHCR dengan anggaran keuntungan sebulan mencecah sehingga RM30,000,” katanya menurut Berita Harian.

Pelbagai dokumen palsu termasuk 20 keping kad UNHCR, i-Kad, kad CIDB, 13 pasport Myanmar, empat lesen memandu Malaysia serta 11 kenderaan termasuk lapan motosikal turut dirampas dalam serbuan itu.

Difahamkan, dalang utama yang menetap di Bukit Mertajam menjadikan sebuah rumah flat di Butterworth sebagai makmal bagi memproses kesemua dokumen palsu.Selain itu, Mohamed Usuf berkata, siasatan mendapati dua lelaki tempatan yang ditahan berperanan sebagai orang tengah bagi sindiket mendaftarkan kenderaan atas nama mereka.

“Sebanyak 477 kenderaan didaftarkan atas nama suspek berusia 57 tahun manakala 247 lagi atas nama suspek berusia 63 tahun.

“Semakan mendapati kebanyakan kenderaan termasuk motosikal itu dibeli secara tunai sebelum dijual atau disewakan sindiket bagi kegunaan warga asing di sekitar utara tanah air,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here