Kelonggaran waktu kerja penjawat awam wanita – Kerajaan pertimbang

Kuala Lumpur, Mac.
Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan turut mengambil kira memberikan kelonggaran kepada penjawat awam wanita untuk bekerja dalam tempoh lebih pendek supaya dapat memberi lebih perhatian kepada keluarga.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kelonggaran itu mungkin akan melibatkan kadar upah yang berbeza.

“Saya akan bincang dengan ketua setiausaha negara dan ketua pengarah perkhidmatan awam supaya diberi kelonggaran, walaupun dengan sedikit gaji yang kurang,” katanya.

“Umpamanya, biasanya kerja dari 8 pagi hingga 5 petang, tetapi kalau bekerja mungkin selama empat jam, mengikut kadar upah mungkin kurang, tetapi kita boleh manfaatkan wanita yang merasa terdesak untuk jaga kepentingan anak-anak di rumah.”

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, yang turut dihadiri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri dan timbalannya, Noraini Ahmad; serta Jemaah Menteri.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang memberi kelonggaran seumpama itu kepada penjawat awam wanita, jika ia dapat direalisasikan.

Katanya, perkara itu menuntut perubahan daripada pemikiran konvensional, memandangkan terdapat wanita yang terpaksa meninggalkan kerjaya untuk memberikan perhatian kepada keluarga.

“Kita yang membuat peraturan dan SOP (prosedur operasi standard), dan kalau kita rasa perlu untuk meningkatkan sumbangan wanita, kita boleh sesuaikan sedikit peraturan dan SOP itu,” katanya.

Bagi mengiktiraf peranan wanita, Anwar turut mengarahkan Nancy supaya memilih 100 tokoh wanita dalam pelbagai bidang untuk menerima dana khas sebanyak RM50,000, bagi menjalankan program berkaitan golongan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here