11 penjawat awam ditahan positif dadah

Johor Bahru, Apr.
Seramai 30 individu, termasuk 11 penjawat awam ditahan kerana didapati positif pelbagai dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Batu Pahat awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, M. Kumar berkata, 24 lelaki tempatan dan enam wanita warga asing berusia 17 hingga 52 tahun itu ditahan ketika sedang berhibur sekitar 1 pagi.

“Mereka didapati positif pelbagai dadah, termasuk methamphetamine, ketamin dan benzodiazepine,” katanya dalam sidang media di IPK Johor di sini.

Beliau berkata, turut ditahan seorang lelaki tempatan 29 tahun yang juga penjaga premis terbabit yang didapati menjalankan perniagaan melebihi had masa serta positif dadah.Menurutnya, mereka akan disiasat.

Dalam perkembangan lain, Kumar berkata, seorang lelaki 35 tahun ditahan dipercayai terbabit sindiket pengedaran dadah dan pelbagai dadah bernilai RM2.39 juta dirampas di Taman Pelangi, di sini pada 24 April lalu.

Lelaki itu, katanya, diberkas di tepi jalan kawasan perumahan terbabit sebelum pelbagai dadah ditemui di sebuah rumah teres Taman Pelangi, termasuk 13.6kg serbuk ekstasi, 707 pil ekstasi serta 2,465 pil erimin 5.

“Modus operandi sindiket pengedaran dadah ini adalah menjadikan bilik sewa di rumah terbabit sebagai stor simpanan sebelum diedarkan ke pusat hiburan dan individu.

“Dipercayai sindiket itu aktif sejak Februari lalu dan membungkus semula dadah berkenaan, antaranya menggunakan peket minuman segera.”Katanya, dua kereta dan wang tunai RM650 juga turut disita

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here