Kota Bahru, Mei.
Seorang penuntut universiti didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menyimbah asid kepada rakan, hingga menyebabkan mangsa cedera parah pada 3 Mei lalu.
Bagaimanapun tertuduh, A. Keertana Naidu, 22, mohon dibicarakan sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Dalam tuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Nurul Husna Rahim, 22, dengan menggunakan benda melecur iaitu asid sulfurik.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.
Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki bahan kakisan iaitu asid sulfurik yang menimbulkan anggapan yang munasabah bahawa tertuduh bercadang hendak menggunakan bahan itu bagi menyebabkan kecederaan kepada mangsa.





















