Shah Alam, Mei-
Kemalangan membabitkan lori muatan sawit yang terbakar di Kilometer 275.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Bandar Ainsdale ke Nilai hampir menyebabkan gangguan air di Selangor.
Tumpahan minyak daripada kenderaan itu berisiko menyebabkan pencemaran kepada sumber air berhampiran Sungai Lamiar dan seterusnya ke Sungai Labu, Selangor yang membekalkan air mentah ke loji rawatan air (LRA) Sungai Labu, LRA Salak Tinggi dan LRA Labohan Dagang.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) segera berkomunikasi dengan PLUS Berhad untuk mengambil tindakan kawalan tumpahan dan pembersihan dapat dilaksanakan serta merta.
“Kejadian mengakibatkan tumpahan minyak ke kawasan persekitaran termasuk memasuki Sungai Lamiar.
“Bagaimanapun ia berjaya dikawal dan dibersihkan sepenuhnya oleh Agensi Badan Kawal Selia Air (BKSA) di negeri ini.
“Sementara di kawasan insiden kemalangan, pihak PLUS berjaya mengawal tumpahan minyak tersebut dengan langkah pencegahan awal meletakkan serbuk kayu bagi menyerap sisa minyak di atas jalan dan membina sekatan di dalam longkang terlibat bagi menyekat aliran tumpahan minyak, ” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.




















