Kuala Lumpur, Mei-
Seorang bekas Ahli Parlimen Umno berkata, Dr Mahathir Mohamad mesti turut memikul tanggungjawab atas kemerosotan hubungan kaum di Malaysia, yang menurut bekas perdana menteri itu semakin parah selepas beliau meletak jawatan pada 2003.
Tawfik Ismail berkata, keputusan Mahathir untuk memberi tumpuan pada dasar seperti Malaysia Incorporated, yang menggalakkan kerjasama lebih erat antara sektor awam dan swasta, bermakna dasar-dasar lain bertujuan memupuk perpaduan terpaksa diketepikan.
Menurutnya, bapa-bapa pengasas negara telah membentuk suatu kepimpinan berbilang kaum dan mendekati isu-isu mendesak pada zaman mereka dari sudut pandang yang realistik.
Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, dan V.T. Sambanthan diiktiraf secara meluas sebagai antara bapa pengasas negara ini.
Tawfik yang juga anak timbalan perdana menteri kedua Malaysia, Ismail Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga tokoh itu membentuk gabungan patriot dan memastikan komuniti masing-masing menyumbang kepada pembinaan negara.
“Semangat ‘tolak ansur’ menjadi daya pendorong utama mereka,” kata Ahli Parlimen Sungai Benut dari 1986 hingga 1990 itu kepada FMT. Bagaimanapun, kata Tawfik, apabila Mahathir mengambil alih tampuk pimpinan pada 1981, dasar-dasar dan ideologi yang dirangka untuk memulihkan hubungan kaum selepas rusuhan kaum pada 1969, seperti Rukun Negara, tidak lagi menjadi keutamaan.
Ada kalanya, dasar-dasar selepas 13 Mei, seperti Dasar Ekonomi Baharu, dieksploitasi.
Menurut Tawfik, pentadbiran Mahathir gagal memanfaatkan jaminan perundangan bagi hak-hak Melayu yang ditetapkan selepas rusuhan 13 Mei, sebaliknya menggunakannya untuk melonjakkan lagi penguasaan Melayu, termasuk dalam sektor swasta
.
Susulan rusuhan kaum, Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memastikan hak-hak istimewa Bumiputera, agama Islam dan bahasa Melayu tidak dicabar.
“Ia suatu usaha untuk menyederhanakan politik berasaskan kaum, dan Rukun Negara dijadikan sebagai ideologi kebangsaan,” kata Tawfik.





















