Ambulans terbalik langgar treler – Penolong perubatan maut

Tapah, Julai-
Seorang penolong pegawai perubatan maut selepas ambulans dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 330.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa seorang wanita berusia 30 tahun dilaporkan tersepit sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu ambulans lelaki berumur 41 tahun dilaporkan cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi, berkata nahas membabitkan ambulans milik syarikat swasta dengan sebuah treler. “Ambulans berkenaan dalam perjalanan pulang dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras ke Ipoh selepas menghantar pesakit.

“Treler berkenaan dalam perjalanan dari Klang menuju Bukit Mertajam untuk menghantar barangan.

“Siasatan awal polis mendapati ambulans berkenaan melanggar belakang treler dipandu lelaki berusia 32 tahun di laluan kiri jalan.

“Pegawai perubatan wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here