Polis tahan dua lelaki, seorang wanita dan rampas dadah

Polis menahan dua lelaki serta seorang wanita, dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggar bernilai RM516,000 dalam serbuan di sekitar Ampang Jaya dan Gombak, Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ampang Jaya dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau berkata dalam serbuan pertama sekitar pukul 11 pagi, polis menahan ibu tunggal beranak enam itu selepas menggeledah sebuah unit pangsapuri di sekitar Taman Muda, Ampang Jaya, dekat sini, dan menemui dadah.

“Hasil pemeriksaan dalam bilik pertama, polis menemui satu kilogram syabu yang disimpan dalam almari pakaian, dan pemeriksaan seterusnya membawa kepada penemuan 149.9kg ganja yang disorokkan dalam almari di bilik kedua.

“Jumlah keseluruhan rampasan ini dianggarkan bernilai RM514,000. Ujian saringan awal air kencing mendapati wanita tempatan berumur 32 tahun itu positif dadah jenis syabu,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Noor Azam berkata susulan penangkapan wanita itu, polis menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Batu Caves, Gombak kira-kira enam jam kemudiannya, dan menahan dua lelaki.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di rumah itu, 666 gram ganja dianggar bernilai RM2,000 ditemukan di ruang tamu dan ujian saringan awal air kencing kedua-dua lelaki tempatan berumur 53 serta 49 tahun itu didapati positif dadah jenis ganja THC.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here