Kuala Lumpur, Apr-
Kes penipuan dalam talian meningkat kepada 12,110 kes dalam tempoh Januari hingga Mac lalu, berbanding 10,715 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata kes e-dagang mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 19.8 peratus dengan 2,535 kes berbanding 2,116 kes sebelum ini.
Ini diikuti 5,214 kes membabitkan jenayah telekomunikasi, penipuan pinjaman tidak wujud (1,404 kes), jenayah e-kewangan (711 kes), pelaburan tidak wujud (2,026 kes) dan love scam (220 kes).
“Peningkatan ini berlaku disebabkan trend penggunaan platform dalam talian semakin meluas terutama menjelang sambutan Aidilfitri yang menyaksikan lebih ramai pengguna membuat pembelian secara digital.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penjenayah turut memanfaatkan teknologi seperti penjana identiti digital palsu, laman web tiruan, perbualan automatik (chatbot) serta teknologi deepfake untuk memperdaya mangsa.
Katanya, AI generatif juga membolehkan penciptaan kandungan yang kelihatan sahih dan meyakinkan sekali gus menyukarkan pengguna untuk membezakan antara komunikasi yang tulen dan yang bersifat penipuan.
Justeru beliau menyeru orang ramai supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan sentiasa menyemak latar belakang individu atau entiti sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan atas talian.
“Pengguna digalakkan untuk merujuk portal rasmi seperti SemakMule milik PDRM serta mendapatkan maklumat terkini daripada laman sesawang JSJK dan agensi berkaitan,” katanya.