Pasport sah 10 tahun dalam tempoh terdekat

Kota Kinabalu, Julai-
Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia untuk mengeluarkan pasport bagi tempoh sah laku selama 10 tahun, kata Menterinya Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata tarikh pelaksanaan pengeluaran pasport itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas kajian mengenai perkara itu selesai dijalankan.

“Apakah kita sudah bersedia, ya…setelah kajian sempurna kita membuat ketetapan bahawa kita ke arah itu (pasport 10 tahun),” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan pejabat pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Saifuddin berkata pasport itu membolehkan rakyat negara ini mempunyai pilihan sama ada menggunakan pasport tempoh sah lima atau 10 tahun.Beliau berkata sebelum ini beberapa kajian libat urus dijalankan oleh Jabatan Imigresen untuk melihat kesesuaian bagi Malaysia mengeluarkan pasport berkenaan seperti amalan negara lain.

Katanya, ia bukan perkara baharu kerana negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura selain Amerika Syarikat serta Itali turut mengeluarkan pasport untuk tempoh 10 tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata pemegang pasport Malaysia boleh mendapat pengecualian visa hampir di 183 buah negara sekali gus meletakkan negara di tempat ke-12 dalam ranking dunia berdasarkan data pada 2024 yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here