Mahkamah putuskan boleh berkahwin secara sah tanpa kad pengenalan

Kuala Lumpur, Julai-
Mahkamah Tinggi Taiping memutuskan individu tanpa kerakyatan masih boleh berkahwin secara sah di negara ini walaupun tanpa kad pengenalan kerana pihak berkuasa boleh mendaftarkan perkahwinan tanpa dokumen berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Ruwena Md Nurdin membuat keputusan itu pada 20 Mei lalu selepas membenarkan saman pemula dikemukakan sebuah keluarga di Perak yang memohon perisytiharan mereka adalah warganegara Malaysia.

Perisytiharan yang dipohon itu adalah melalui pelaksanaan undang-undang mengikut Perkara 14(1)(b) yang dibaca bersama Seksyen 1(a) Jadual Kedua, Bahagian 11, Perlembagaan Persekutuan.

Keluarga itu juga memohon perisytiharan bahawa mereka berhak mendaftarkan perkahwinan masing-masing berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam saman pemula itu, keluarga terbabit menamakan Pendaftar Kelahiran dan Kematian, Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Menteri Dalam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Saman pemula itu difailkan K. Kamaladevi, 46, dan dua anak serta tiga cucu. Noor Ruwena dalam keputusannya mengisytiharkan keluarga tiga generasi itu sebagai warganegara dan Kamaladevi serta anak perempuannya mempunyai hak untuk mendaftarkan perkahwinan mereka dengan JPN.

Mengikut fakta kes, walaupun Kamaladevi mempunyai datuk dan nenek warganegara Malaysia, ibunya Letchimee hanya mempunyai sijil kelahiran dan tidak mempunyai kad pengenalan Malaysia sehingga ke akhir hayatnya.

Disebabkan itu, Kamaladevi tidak dapat mendaftarkan perkahwinannya dengan seorang lelaki rakyat Malaysia, dan ketiga-tiga anaknya, termasuk dirinya tidak mempunyai kerakyatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here