Anak juruterbang MH17 ikut jejak bapa!

Petaling Jaya, Julai-
Ivy Loi tidak menghalang anak-anaknya mengikut jejak langkah bapa mereka menjadi juruterbang, meskipun mendiang suaminya terkorban dalam tragedi MH17 10 tahun lalu.

“Ramai bertanya tentang keputusan saya membenarkan anak-anak mengikut jejak langkah bapa mereka. Sesiapa sahaja wajar berasa takut, jadi saya tak salahkan orang bertanya, tapi itukan cita-cita mereka,”katanya kepada FMT.

Mendiang suaminya, Eugene Choo Jin Leong, adalah kapten pesawat Malaysia Airlines Flight 17 yang ditembak jatuh dengan peluru berpandu di ruang udara Ukraine pada 2014.

Apabila pilihan kerjaya anaknya dipersoalkan, Loi berkata memandu di jalan raya lebih berbahaya berbanding di udara. “Saya memberi restu dan galakan kepada anak-anak saya,” katanya, dan menambah barangkali ia cara mereka untuk mengenang bapa mereka. Anak sulungnya, Melvic, 23, seorang juruterbang dengan AirAsia manakala adiknya, Scott, 21, baru sahaja tamat ijazah kejuruteraan aeronautik di UK dan memohon kepada MAS dan AirAsia untuk menyertai program penerbangan mereka.

Loi bertemu suaminya semasa Loi berkhidmat sebagai anak kapal dengan Malaysia Airlines. Mereka meluahkan perasaan masing-masing ketika dalam penerbangan ke Melbourne, Australia.

“Detik itu amat istimewa yang akan saya kenang sepanjang hayat. Dia seorang rakan sekerja yang bagus dan baik hati dengan semua orang. Semua orang suka menaiki penerbangannya. Dia amat teliti dan bersungguh-sungguh ketika bekerja,”katanya.

Mereka menandakan ikatan istimewa itu dengan menamakan anak pertama Melvic, akronim untuk Melbourne, Victoria.

Choo sebagai seorang bapa sangat lembut dengan anak-anaknya, dan Choo memastikan sebahagian besar masa lapangnya adalah bersama anak-anaknya. Dia juga memberi galakan dalam apa sahaja minat mereka. Melvic berusia 13 tahun manakala Scott 11 tahun ketika mereka kehilangan bapa mereka.

Pesawat MH17 yang membawa 298 orang dari London ke Kuala Lumpur ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, ketika merentasi wilayah timur Ukraine yang dilanda peperangan. Semua 283 penumpang dan 15 anak kapal terbunuh.

Mangsa dari 17 negara termasuk 198 warga Belanda, 43 rakyat kita, 38 warga Australia, dan 10 dari United Kingdom.

Mengimbau detik ketika beberapa rakan rapat suaminya membawa berita tragedi itu, Loi berkata dia jadi kaku dan tak ingat apa-apa dalam tempoh beberapa jam selepas terima khabar buruk itu.

“Saya punah sama sekali dan fikiran jadi kosong. Ramai rakan-rakan dari MAS dan ahli keluarga di rumah kami tapi saya tak ingat apa yang saya buat ketika itu,”Melvic mula membawa pesawat AirAsia dua tahunlalu, selepas menjalani latihan sebagai juruterbang dengan syarikat penerbangan itu. Melvic akui ada terkenang ayahnya ketika terbang tetapi kenangan itu membuatkan beliau lebih berani.

“Apabila saya dapat ‘sayap’, detik itu merupakan saat yang amat membanggakan bagi saya dan ibu. Kami tahu ayah akan berbangga dan memberi restu,”katanya.

Menurutnya, Scott akan pulang dari pengajian di UK tidak lama lagi dan mereka berharap dia akan berjaya menjalani latihan juruterbang dengan MAS atau AirAsia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here