George Town, Julai-
Seorang lelaki dan dua wanita yang merupakan pembantu rumah ditahan bersama beberapa jenis dadah di sebuah rumah di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan pada jam 5 petang, Sabtu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki berusia 44 tahun itu merupakan warga tempatan manakala dua wanita berusia lingkungan 20-an tersebut adalah warga Indonesia.
Menurutnya, hasil daripada serbuan tersebut, kita menemui pelbagai jenis dadah iaitu eramin 5, ketamin, ekstasi, methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) serta barangan disyaki peralatan menghisap dadah.
“Kita turut merampas sepucuk pistol tiruan berserta satu botol plastik mengandungi bebola plastik dan satu buku lima berbentuk pisau,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Hamzah menambah, lelaki tersebut mempunyai enam rekod jenayah melibatkan dua kesalahan jenayah dan empat kesalahan dadah.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula 28 Julai hingga 3 Ogos untuk siasatan lanjut.



















