Kluang, Ogos-
Seorang pesara kerajaan kerugian RM140,000 selepas diperdaya oleh penjenayah untuk menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bersama nombor pin dalam kejadian di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata terdahulu mangsa berusia 74 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang mendakwa kononnya anggota polis, 24 Jun lalu.
Melalui panggilan itu, katanya, suspek menuduh mangsa terbabit jenayah pengubahan wang haram dan meminta warga emas terbabit membayar RM2,000 untuk menyelesaikan kes berkenaan.
Beliau berkata, mangsa yang tidak tahu cara membuat bayaran itu kemudian diarah menyerahkan kad ATM miliknya berserta nombor pin dengan cara membungkusnya dan meninggalkan bungkusan terbabit di taman permainan kanak-kanak berhampiran rumah warga emas berkenaan.
Seterusnya pada 1 Julai lalu, katanya, warga emas itu menerima panggilan dari nombor telefon sama yang mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank miliknya untuk tujuan tidak pasti.
“Mangsa diugut akan ditangkap jika tidak mematuhi arahan itu. Disebabkan takut, mangsa terus pergi ke bank cawangan Kluang dan memasukkan wang berjumlah RM140,000 ke dalam akaun bank miliknya.
“Beberapa hari kemudian, mangsa membuat semakan akaun bank dan mendapati berlaku pengeluaran wang tunai melalui mesin ATM berjumlah RM140,000 daripada akaunnya itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan polis pada 21 Julai lalu, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.